Percutian kali ni sebenarnya kebetulan dengan bawa isteri berpantang di kampung dengan membawa Baby Firash untuk mengenali tempat kelahiran ayahnya, pulang dengan menaiki kapal terbang pada 10 Mac 2011 tidaklah merasa keletihan dan apabila pesawat dah mula merendah untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, sudah mula menampakkan kebiruan air Laut China Selatan serta sungai yang sedikit coklat dan kehijauan maka mulalah terbayang ikan-ikan yang menyambar umpan udang hidup… tak sabar sungguh nak memancing masa tu.. hehehe...
Syukur akhirnya aku sekeluarga selamat sampai di rumah we (mak) pada jam 4.30 petang, Due dalam perjalanan pulang dari Sg. Tong, Imin sudah siap sedia di rumah cuma Riff sahaja yang tak dapat bercuti kerana bukan cuti U masa tu... aku pula memang dh tak sabar...
Setelah udang hidup dengan harga RM3 sebunga ditempah di rumah saudara Kori, petang tu juga aku pergi mengambilnya dengan tempahan sebanyak 3 bunga... banyak dah tu... dengan menggunakan air sungai asli dimasukkan ke dalam bekas yang direka khas berserta mesin oksigen berbateri, aku mengharapkan udang masih segar hingga sehingga lewat malam. Senang di sini kerana tempat menjual umpan udang hidup boleh dikatakan banyak di sekitar kampung aku ni.
Setelah solat Maghrib, tepat jam 8.00 malam, aku bertiga berkemas-kemas peralatan memancing termasuk 5 batang joran sahaja yang dibawa. Yang penting kali ni Due dah beli khemah, bolehlah buat berteduh hujan dan panas. Sebenarnya di sekitar kampung aku banyak tempat-tempat yang sesuai untuk memancing, di kawasan Sg. Kelantan yang luas tu, Kg. Kijang, Kedai Buluh, Pulau Pisang, Kuala Besar, Pantai Mek Mas, Pulau Kundur, di pesisiran Pantai Cahaya Bulan, Pantai Kuda, di kawasan anak sungai, muka kuala kecil, kubur di Madat, jambatan hujung Madat dan kawasan Tok Sadang. Pelbagai spesis ikan yang pernah dipancing seperti siakap putih, siakap merah, semilang, kerapu, tanda, pari dan ketutu atau ikan ubi. Cuma tengok rezeki la, kekadang dapat dan kekadang tidak... resmi kaki pancing...
muara kuala besar
jambatan kayu tok sadang
Tujuan permulaan kami adalah ke lokasi anak sungai di Pantai Mek Mas, di sini kami pernah mendapat ikan semilang walaupun sebenarnya tempat ini terkenal dengan siakap putih. Hampir jam 9.00 malam kami mula memancing, 5 jorang di pasang... kekadang loceng yang dipasang berbunyi, cuma anak-anak ikan sahaja memakan umpan. Dalam lingkungan jam 11.00 malam, dua kumpulan anak muda mula memenuhi tempat itu di kiri dan kanan kami... biasalah sambil membuat bising... satu ketika hujan pula mulai turun malahan semakin lebat rupanya, kami bersyukur khemah yang dibawa Due sangat berguna pada malam itu, sambil memerhati joran bergoyang, kami juga mengharapkan dua kumpulan tersebut bertukar tempat memancing kerana kami lebih suka memancing tanpa membuat bising, nanti ikan tak makan... hehehe. Hujan semakin lebat, ikan pula tak makan umpan dan mereka masih di situ, sanggup pula basah kuyup...
Agak selesa memancing di anak sungai mek mas
semilang anak sungai mek mas
Jam 12.30 malam, akhirnya mereka akur, mereka beredar mungkin mencari lokasi yang sesuai. Sebenarnya kami juga begitu, mengemas barang-barang dan cuba berfikir untuk ke lokasi yang dirasakan sesuai. Aku membuat cadangan untuk ke jambatan hujung Madat, walau tempat itu hanya anak sungai yang agak kecil tetapi seringkali memberikan kepuasan yang memberangsangkan buat kami. Dalam perjalanan ke situ, singgah sebentar membeli berger sebiji seorang, ye lah... lapar lebih-lebih lagi dalam kesejukan sebegitu...
Setelah sampai, kami mula memasang beberapa joran, sebenarnya umpan yang dibawa tadi sudah banyak yang mati, tak apelah... masih ada ikan yang tak mau ia dibazirkan... hehehe. Jam menghampiri 2.00 pagi... seringkali pula loceng berbunyi, maknanya ada ikan yang memakan umpan. Galak pula di sini. Tiba-tiba joran aku direntap kuat, akhirnya aku dapat juga ikan pada masa itu tapi cuma anak ikan tanda agak kecil sahaja, tak apalah itu rezeki namanya, tiba-tiba joran due pula direntap dan akhirnya dia juga mendapat seekor anak kiron anggaran berat yang hampir serupa. Seberapa ketika kemudian, gegaran loceng di hujung jorang Imin semakin kuat kedengaran, apakah petanda ikan yang lebih besar memakan umpan? Imin terus menyentap dengan penuh debaran, akhirnya seekor siakap putih yang tidak sebesar mana, dalam anggaran 500g berjaya juga diperolehi pada malam itu. Bergelak ketawalah kami seketika... rasa bersyukur sebab ada juga rezeki pada malam itu, malam pertama aktiviti yang seterusnya. Imin lagi suka sebab itulah tangkapan pertamanya yang bernama siakap putih. Sebenarnya di sini kami juga sering menaikkan siakap merah malahan satu masa kami pernah mendapat beberapa siakap merah yang salah satunya seberat lingkungan 500g dan juga seekor anak kerapu. Kami pulang ke rumah yang hanya tak sampai seputung rokok... kami berehat dan cukuplah bagi kami untuk malam itu.
siakap putih akhirnya dinaikkan
siakap merah berjaya dinaikkan
semilang pun dinaikkan
beberapa siakap merah dan tanda
kerapu